Thursday, January 07, 2010

Kisah Sepuluh Ringgit

Forwarded by a friend thru emel:

Sebelum saya memulakan tulisan saya untuk kali ini, ingin saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengucapkan tahniah kepada saya atas kelahiran anak kedua saya. Apa yang saya bakal ceritakan juga sebenarnya berlaku 2 hari sebelum kelahiran Nazhurah. Satu kejadian yang mengundang air mata saya dititiskan. Ianya berlaku di pekan Kuala Selangor sewaktu perjalanan pulang ke Tanjung Karang.

Disebabkan saya tiba lewat di rumah kakak ipar saya di Teluk Panglima Garang, maka kami menukar rancangan untuk pulang ke Tanjung Karang keesokan harinya. Apabila bangun pagi keesokan harinya, isteri saya mendapati badan Naqibah mulai panas. Tetapi kami merancang untuk meneruskan rancangan kami dan akan singgah ke klinik apabila tiba di pekan Kuala Selangor nanti.

Di dalam teksi, Naqibah hanya tidur di pangkuan saya sepanjang perjalanan. Dia hanya terjaga sebaik teksi berhenti di sebuah klinik di deretan sebuah rumah kedai berhampiran stesen minyak Shell di Kuala Selangor. Kami segera masuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan untuk Naqibah. Doktor mengesahkan Naqibah hanya demam biasa. Alhamdulillah. Mungkin kerana telalu kepenatan semalam.

Setelah mengambil ubat dan membayar kos rawatan, kami keluar dari klinik dan singgah di butik Anakku yang terletak di sebelahnya. Tiba-tiba isteri saya dihampiri oleh seorang perempuan dengan anak kecilnya. Dari segi rupanya kelihatan seperti seorang berbangsa India tetapi dia mengenakan tudung di kepalanya. Mulutnya pula berkata sesuatu yang sukar untuk kami fahami sambil menunjukkan duit seringgit di tangan kanannya.

Saya berfikir mungkin perempuan ini seorang peminta sedekah. Saya segera mengeluarkan duit seringgit dari beg duit saya dan menghulurkan kepadanya. Dia mengucapkan terima kasih sambil mulutnya masih terus membebel yang saya tidak faham biji butirnya. Hanya yang saya faham, dia berkata bahawa dia dan anaknya masih belum makan. Timbul rasa simpati di hati saya mendengarnya.


Sebelum menaiki teksi di Kelang, sempat saya singgah di mesin ATM untuk melihat gaji. Jumlah yang tertera mengundang senyuman di bibir. Maklumlah, bulan ini bonus kami dikreditkan ke dalam akaun kami. Mengenangkan gaji saya yang agak lebih di bulan ini, saya kira tidak ada salahnya jika saya hulurkan kepada perempuan itu lebih sedikit juga. Bukan banyak pun. Hanya
RM10 sahaja.

Sebaik melihat kertas merah di tangan saya, wanita itu melonjak kegembiraan. Lantas dia segera merentap tangan isteri saya dan menciumnya. Isteri saya kebingungan dengan reaksinya. Saya juga terkedu melihatnya. Dan yang paling menyedihkan, apabila wanita itu meneriak anaknya sambil berkata dengan riang “Adik! Kita makan dik!” dan kemudian menarik anaknya ke kedai makan yang terdekat.

Saya tidak dapat menahan sebak di dada. Saya dapat rasakan ada titisan air mata di kelopak mata saya. Apabila isteri saya memandang kepada saya, saya segera menoleh ke arah lain. Malu pula rasanya hendak menangis di hadapan isteri. Tetapi apa yang berlaku cukup-cukup menyentap emosi saya. Malah hingga ke hari ini, rasa sebak masih melanda apabila melihat riangnya wanita itu beroleh duit sebanyak RM10…

“Sedih abang Yang…” kata saya kepada isteri saya sebaik wanita itu jauh dari kami. “Dia dapat sepuluh ringgit je tapi seronoknya melampau. Abang… Gaji abang lebih bulan ni. Tapi abang tak ingat pun abang cakap Alhamdulillah ke tak masa tengok gaji tadi…” Insaf saya. Selama ini saya
menganggap RM10 itu bagaikan kertas yang hampir pupus nilainya tetapi ada orang lain yang gembira bukan kepalang apabila beroleh wang sebanyak itu.

“Kita ingat Achik dengan Ateh dan cukup susah. Tapi ada orang lain yang lebih susah, kan?” tambah isteri saya pula yang mengundang lebih keinsafan dalam diri saya. Betapa saya selama ini kufur dengan nikmat yang Allah beri. Betapa saya tidak pernah merasa cukup dengan limpahan rezeki yang dikurniakan. Sedangkan ada orang yang mendapatkan sebahagian kecil dari apa yang saya perolehi begitu pandai menghargainya.

Saya cuba bayangkan diri saya dalam keadaannya. Tanpa kereta dan tanpa telefon bimbit, aksesori yang bagi saya sengaja dijadikan keperluan. Bukan setakat itu, makan juga terpaksa mengharap simpati orang. Bagaimanakan keadaan saya ketika itu? Akan berimankan saya dengan iman seperti hari ini ataukah saya menjadi orang yang menyalahkan takdir? Wana’uzubillahi minzalik. Semoga Allah melindungi kita dari keburukan.

Pulang ke rumah di Johor Bahru, saya bercerita kepada abang saya tentang apa yang berlaku. “Eh eh dik…” Kata abang saya terharu. “Kalau kita macam tu entah macamana agaknya” katanya lagi seolah-oleh menyetujui pemikiran saya. Sebentar kemudian dia menambah… “Tapi… Ada sesetengah tu tipu je. Ada sindiket. Kadang-kadang tu pengemis ni hidup lagi mewah dari kita. Banyak berlakon je…” katanya.

Saya terdiam sebentar. Sebenarnya perkara ini pernah ditimbulkan dalam satu forum di ruang siber. Tetapi bagi saya, ianya sesuatu yang mudah. Setiap kali tangan ini menghulurkan, saya tidak pernah memikirkan kejujuran orang yang menadah. Bagi saya, apa yang terlihat di hadapan mata saya ketika itu adalah kebenaran. Jika dia tiba di hadapan saya sebagai orang miskin, maka betullah dia seorang yang miskin.

Bagaimana jika dia menipu? Itu urusan dia dengan Allah. Saya tidak risaukan jika dia seorang kaya yang berlagak miskin. Yang saya risaukan jika dia benar seorang yang miskin dan memerlukan bantuan tetapi tidak saya bantu kerana sifat prejudis saya terhadap golongan peminta sedekah. Maka berdosalah saya sebagai seorang muslim yang tidak menghiraukan saudara muslimnya yang kelihatan dalam kesusahan.

Lebih dari itu, Allah melalui lidah mulia Nabi Muhammad saw menjanjikan balasan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang bersedekah. Tidak pula Allah meletakkan syarat, jika orang yang kita berikan sedekah itu sebenarnya adalah seorang yang kaya, maka pahala yang telah dikurniakan kepada kita akan ditarik balik. Tidak! Allah tidak pernah berjanji begitu. Jadi mengapa harus saya membebankan fikiran saya dengan perkara yang tidak sewajarnya?

Abang saya mengangguk-anggukka n kepada tanda bersetuju. Begitulah. Jika hendak melakukan kebaikan, tidak perlu meletakkan syak dan wasangka. Hanya letakkan harapan dan doa agar wang yang kita dermakan tidak nanti disalah gunakan. Kedudukan kita sebagai jutawan hari ini tidak mampu menjanjikan bahawa kita tidak mungkin akan menjadi peminta sedekah pada esok hari. Jika mahukan bantuan Allah, maka bantulah sesama manusia…

0 Loves:

Related Posts with Thumbnails